BUKIT MERTAJAM : Pelajar institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika menjalankan aktiviti di luar kampus pada masa ini.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, secara umumnya, pihak Mara tidak melakukan pemantauan dan mengetatkan disiplin seperti mana di sekolah dan kolej.
“Cuma, apa yang perlu kita ambil iktibar ialah segala program yang mahu dilakukan mestilah mengambil kira risiko yang ada. Ini bukan sahaja memaklumkannya (mengenai program), tetapi, mesti melihat soal kesesuaian aktiviti contohnya seperti berkonvoi.
“Memang kita tak boleh nak halang (aktiviti) ini sebab ia berlaku di luar waktu akademik. Tetapi, mereka (pelajar) harus berhati-hati, berwaspada dan mengelakkan daripada berkonvoi pada sebelah malam dalam keadaan beramai-ramai yang dikhuatiri boleh memudaratkan.
“Dalam hal ini, kita minta supaya para pelajar mengutamakan aspek keselamatan dalam melaksanakan apa juga aktiviti program walaupun program terbabit bersifat di luar tanggungan ataupun pemantauan universiti,” katanya selepas menghadiri Program SALES2U@GIATMARA Pulau Pinang di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan bahawa Mara tidak terbabit dalam penganjuran konvoi membabitkan 15 penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi dan German-Malaysian Institute (GMI) Kajang yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 262.5, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Seremban, Negeri Sembilan.
Insiden itu meragut nyawa tiga penuntut KPTM, manakala sembilan lagi penuntut dilaporkan mengalami kecederaan dan tiga lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mara dalam satu kenyataan menyebut, perancangan aktiviti konvoi berkenaan adalah inisiatif bersifat tidak rasmi yang dianjurkan secara santai oleh penuntut itu sendiri.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, menerusi program SALES2U@GIATMARA, usahawan didedahkan secara langsung kepada realiti dunia perniagaan sekali gus memberi ruang untuk melonjakkan jenama dan menggandakan potensi pendapatan.
“Program yang berlangsung selama tiga hari ini turut menjadi medan langsung penyertaan usahawan pelatih dan alumni GiatMara dalam ekosistem perniagaan sebenar dan membuktikan bahawa tenaga mahir Bumiputera bukan sahaja bersedia untuk bekerja malah berkeupayaan menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi negara,” ujar beliau.-UTUSAN