MARA jimatkan 30 peratus pembiayaan pelajar ke di Australia

MARA jimatkan 30 peratus pembiayaan pelajar ke di Australia

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Diskaun sehingga 30 peratus berjaya diperoleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk pelajar tajaan agensi tersebut hasil rundingan dengan beberapa universiti terkemuka Australia.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah tersebut sekali gus menjimatkan kira-kira RM200,000 sehingga RM300,000 untuk pembiayaan seorang pelajar MARA di negara tersebut.

Katanya, kejayaan itu dicapai menerusi siri pertemuan rasmi bersama tiga menteri Australia dan lima universiti utama negara itu dalam lawatan kerja terbaru beliau.

“Pertemuan penting yang berlangsung Ahad lalu membabitkan Menteri Pendidikan Australia, Jason Clare; Menteri Kemahiran dan Latihan, Andrew Giles serta Timbalan Menteri Pendidikan Antarabangsa, Julian Hill.

“Alhamdulillah, misi perundingan kali ini sangat menakjubkan apabila kami berjaya menyempurnakan empat perjumpaan penting dan memperoleh perbincangan yang amat berkesan,” katanya dalam hantaran di TikTok, malam tadi.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi berkata, lawatan beliau ke negara tersebut mampu meningkatkan akses pelajar MARA ke institusi pendidikan berkualiti tinggi di Australia dan dalam masa yang sama mampu mengurangkan kos pembiayaan luar negara.

“Objektif utama kita memastikan pelajar mendapat pendedahan silang negara yang menyeluruh dan bermanfaat.

“Pada masa sama, kita perlu berfikir secara kreatif bagaimana untuk meningkatkan jumlah pelajar dihantar ke luar negara dengan kos yang lebih rendah,” katanya.

Asyraf Wajdi dalam masa yang sama berkata, MARA turut meneroka model kerjasama baharu seperti program 2+2 atau 3+1 yang membolehkan pelajar mengikuti sebahagian pengajian di Malaysia sebelum menyambung baki tempoh di Australia.

“Dengan langkah itu, pelajar boleh melanjutkan pengajian peringkat seterusnya di luar negara dan itu menandakan kita tidak hanya menghantar pelajar melalui laluan pendidikan normal.

“Pendekatan itu berpotensi mengurangkan kos keseluruhan pengajian, selain membuka peluang kepada lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN