PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) terus menjadi simbol komitmen negara dalam memperkasa sosioekonomi masyarakat Bumiputera sepanjang enam dekad penubuhannya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejak ditubuhkan pada 1 Mac 1966, Mara berperanan sebagai instrumen penting dalam membuka ruang pendidikan, keusahawanan dan latihan kemahiran.
Katanya, dalam tempoh 60 tahun, institusi itu telah melahirkan generasi profesional, usahawan dan tenaga mahir yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.
“Di sebalik setiap kisah kejayaan, ada peranan Mara yang membina keyakinan, membentuk keupayaan dan membuka jalan kepada kehidupan yang lebih baik.
“Mara telah menjadi jambatan harapan, mengubah potensi menjadi pencapaian dan impian menjadi realiti,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah beliau, Mara juga kekal relevan sebagai pemacu pembangunan Bumiputera dalam landskap global yang semakin dinamik dan sarat persaingan.
“Hari ini, Mara kekal kukuh dan relevan sebagai pemacu pembangunan Bumiputera, selari dengan tuntutan zaman yang semakin mencabar dan kompetitif.
“Peranannya akan terus diperkasa bagi memastikan lebih ramai anak bangsa mampu melangkah lebih jauh dan berdiri sama tinggi di pentas dunia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Mara, sama ada yang terdahulu mahupun kini, atas dedikasi dan komitmen dalam mencipta pelbagai kisah kejayaan.
“Semoga Mara terus melangkah maju dalam membina legasi yang lebih besar dan menjadi simbol kekuatan dan masa depan Bumiputera. Insya-Allah. Selamat Hari Mara ke-60,” katanya. – UTUSAN









