KANGAR: Pas menegaskan kepemimpinan ulama perlu terus dikekalkan sebagai teras perjuangan parti, walaupun dalam masa sama mengiktiraf peranan penting golongan profesional dalam gerak kerja politik dan pentadbiran.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, khidmat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih amat diperlukan seluruh kepimpinan dan ahli parti, walaupun beliau kurang sihat.
Katanya, ulama perlu menge-tuai Pas kerana mampu memastikan hala tuju parti selaras dengan prinsip Islam yang syumul.
“Bukan kita menafikan peranan golongan profesional, sebaliknya mereka tetap penting dalam struktur parti. Tapi bagi memastikan hala tuju parti tidak tersasar, Pas mesti dipimpin ulama,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menolak spekulasi pengundurannya dan menyatakan komitmen untuk terus memimpin Pas selepas lebih dua dekad menerajui parti itu sejak 2003.
Dalam kenyataan berkias, Ahli Parlimen Marang berusia 78 tahun itu berkata, beliau seboleh-bolehnya mahu mati ketika menjalankan tugas diamanahkan kepadanya.
Abdul Hadi menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bulan lalu turut menyatakan kesyukuran kerana kesihatannya semakin baik.
Beliau tidak dicabar dalam pemilihan parti sejak 2017, sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai tokoh utama Pas.
Hashim berkata, keteguhan Abdul Hadi memimpin Pas meskipun diuji kesihatan menjadi bukti kekuatan tokoh itu sebagai pemimpin berprinsip dan berwibawa.
“Dalam keadaan uzur pun beliau mampu memberi pandangan berasaskan syariat. Itulah ciri pemimpin kita perlukan dalam Pas,” katanya. – UTUSAN