KANGAR: Keadaan kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, yang dirawat hampir sebulan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang, bertambah baik dan dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU).
Anak bongsunya, Husna Hashim berkata, bapanya kelihatan lebih kuat dan bertenaga berbanding sebelum ini.
Katanya, bapanya juga sudah mula menjamah makanan yang lembut melalui mulut.
“Penggunaan ubat jantung (noradrenaline) sudah dihentikan sejak 24 jam lalu dan setakat ini keadaan abah semakin baik walaupun perubahannya agak perlahan.
“Bantuan oksigen yang digunakan juga sudah dikurangkan,” katanya di sini semalam.
Husna berkata, tahun ini merupakan kali pertama mereka sekeluarga akan berkumpul menyambut Aidilfitri di Pulau Pinang berikutan keadaan bapa itu.
”Tahun ini, kami adik-beradik akan beraya di Pulau Pinang bagi dekat dengan abah. Selalunya pada malam raya, abah akan jemput orang kampung bertakbir di rumah (di Perlis) dan ada disediakan jamuan makan.
”Alhamdulillah, apa yang lebih penting keadaan kesihatan abah semakin baik,” katanya.
Hashim, 87, sebelum itu dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar sejak 7 Februari lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan lanjut.
Beliau dipantau di ICU disebabkan keadaan jantung semakin lemah, masalah buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru. – UTUSAN










