KUALA LUMPUR: Keberkesanan Sistem Pengesanan Murid (SiPKPM) dalam menangani isu keciciran pendidikan terbukti apabila seramai 4,758 murid cicir berjaya kembali ke sekolah dalam tempoh 10 Februari hingga 30 Julai 2025.
Jumlah itu meningkat berbanding 2,708 murid yang kembali ke sekolah sepanjang tahun 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pencapaian tersebut membuktikan pendekatan berasaskan data dan pemantauan berterusan mampu meningkatkan kadar kemasukan semula murid ke dalam sistem pendidikan negara.
“SiPKPM kini turut diperkasa menerusi pengintegrasian dengan kecerdasan buatan (AI) bagi meramal laluan pembelajaran dan kerjaya murid berisiko cicir dan murid cicir yang masih berada dalam sistem pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga Tingkatan Lima.
“Ramalan ini akan membantu usaha mengekalkan murid tersebut supaya mereka dapat menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan Lima,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai tahap keberkesanan pembangunan Sistem Pengesanan Murid (SiPKPM) dalam mengesan pergerakan kanak-kanak warganegara secara komprehensif termasuk murid cicir dan kanak-kanak yang tidak mendapat akses pendidikan.
Menurut beliau, KPM yakin semua usaha dan inisiatif yang dirancang itu akan dapat dilaksanakan dengan baik dalam usaha mengurangkan kadar keciciran murid.
Katanya, usaha menangani isu tersebut turut disokong melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di bawah Inisiatif Peningkatan Akses daripada peringkat prasekolah hingga menengah atas.
“SiPKPM diwujudkan bagi mengesan pergerakan kanak-kanak warganegara secara komprehensif yang berada di sekolah KPM, termasuk dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima serta murid di institusi pendidikan swasta dan institusi pendidikan agama,” ujarnya.
Tambah Kah Woh, sistem itu turut membolehkan analisis terperinci terhadap murid cicir termasuk data lokasi melalui peta panas (heat map) dan senarai sekolah terlibat sekali gus membolehkan intervensi yang bersasar dilaksanakan.
“Bagi murid berisiko cicir pula, intervensi berfokus dapat dirangka agar mereka kekal dalam sistem pendidikan dan tidak tercicir,” katanya. – UTUSAN










