KUALA LUMPUR: Rakyat berpeluang menikmati penjimatan sehingga RM1,632 setahun hasil keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya utama bagi tahun 2025.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu memberi manfaat besar khususnya kepada pengguna lebuh raya yang berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.
“Sebagai contoh, pengguna Kelas 1 di Lebuhraya MEX yang melalui Plaza Tol Putrajaya akan menikmati penjimatan RM6.80 sehari bagi perjalanan pergi dan balik berbanding kadar baharu yang sepatutnya dinaikkan berdasarkan perjanjian konsesi.
“Sekiranya jumlah itu dikira untuk 20 hari bekerja sebulan, penjimatan mencecah RM136 sebulan atau RM1,632 setahun iaitu satu angka yang signifikan kepada rakyat,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN–Pekan) berhubung implikasi kepada pengguna lebuh raya sekiranya kerajaan tidak menangguhkan kenaikan kadar tol seperti diumumkan Perdana Menteri pada 23 Julai lalu.
Menurut Alexander, penangguhan kenaikan kadar tol tersebut melibatkan Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya KL–Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Selain itu, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di mana penangguhan di LLB hanya melibatkan kenderaan Kelas 5.
“Kadar tol asal bagi lebuh raya terbabit dijadualkan naik antara RM0.50 hingga RM4.56 atau antara 79 peratus hingga 83 peratus bergantung kepada kelas kenderaan seperti ditetapkan dalam perjanjian konsesi.
“Jika kenaikan ini tidak ditangguhkan, ia memberi impak besar kepada rakyat kerana jurang kadar semasa dan kadar baharu amat tinggi. Kerajaan memutuskan untuk kekalkan kadar sedia ada demi kesejahteraan pengguna,” ujarnya.
Alexander berkata, keputusan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus memelihara kebajikan rakyat tanpa mengabaikan obligasi kepada syarikat konsesi.
“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan beban harian rakyat, tetapi memberi ruang kepada perbelanjaan isi rumah yang lebih seimbang dalam suasana ekonomi mencabar,” katanya lagi. – UTUSAN










