Kerajaan tidak teruskan pelaksanaan cukai barangan mewah

PARLIMEN: Kerajaan tidak teruskan pelaksanaan cukai barangan mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi atau High Value Goods Tax (HVGT). 

Kementerian Kewangan bagaimanapun berkata, prinsip-prinsip pelaksanaan cukai tersebut telah diambil kira dalam semakan semula cukai jualan, di mana barangan mewah dan barangan pilihan dikenakan cukai pada kadar lima peratus atau 10 peratus.

Katanya, semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang mula berkuatkuasa 1 Julai lalu, kerajaan menjangkakan pertambahan hasil sebanyak RM5 bilion pada tahun 2025 dan meningkat dua kali ganda kepada RM10 bilion pada tahun 2026.

“Pada masa sama, penyasaran subsidi diesel sehingga kini telah menjana penjimatan kepada kerajaan sebanyak RM600 juta sebulan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai unjuran penambahan pendapatan negara hasil daripada pelaksanaan reformasi fiskal termasuk pengenalan cukai barang bernilai tinggi (HVG), cukai barangan digital (DGT), cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai barang bernilai rendah (LVG) serta peluasan cukai SST dan rasionalisasi subsidi yang sedang dan bakal dilaksanakan.

MOF berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah di bawah kategori cukai langsung dan tidak langsung bagi mengukuhkan kutipan hasil negara sebagai sebahagian daripada agenda reformasi fiskal yang sedang digerakkan.

“Antara langkah tersebut termasuk pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang telah berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 melibatkan transaksi saham tidak tersenarai.

“Kerajaan mengunjurkan kutipan sekitar RM800 juta setahun melalui pelaksanaan CGT. Bagaimanapun, jumlah kutipan sebenar hanya dapat dimuktamadkan selepas pembayar cukai syarikat mengemukakan borang nyata cukai pendapatan bagi tahun taksiran semasa,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital (Service Tax on Digital Services-StoDS) yang dikenakan kepada penyedia perkhidmatan digital sejak 1 Januari 2020.

“Cukai ini dikenakan ke atas perkhidmatan langganan yang ditawarkan secara atas talian atau melalui jaringan elektronik lain. Bagi 2024 sahaja, kutipan hasil StoDS mencatatkan pulangan sebanyak RM1.6 bilion.

“Pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Rendah (Low Value Goods-LVG) yang bermula pada 1 Januari 2024 pula dianggarkan menyumbang sekitar RM500 juta dalam hasil cukai bagi tahun ini.

“Reformasi cukai ini dijangka membantu meningkatkan daya tahan ekonomi negara, selain mengukuhkan kedudukan fiskal dalam jangka masa panjang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN