KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) yang lebih komprehensif dan inklusif bagi memastikan kemajuan komuniti itu setanding dengan masyarakat arus perdana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar itu sedang dirangka dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan akan diselaraskan dengan hala tuju semasa seperti Malaysia Madani dan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).
Selain itu, ia juga diselaras dengan komitmen kerajaan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP) yang diratifikasi negara sejak 2007.
“Pembangunan dasar ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk meletakkan asas pemerkasaan komuniti Orang Asli melalui tujuh fokus strategik iaitu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan.
“Pelaksanaannya juga berpegang kepada prinsip tanpa paksaan (no forced assimilation), selaras dengan semangat UNDRIP,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) yang meminta penjelasan mengenai langkah dan inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkasa komuniti Orang Asli agar setanding dengan masyarakat asal di negara-negara maju lain.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan sedang mengkaji kesesuaian mewujudkan Majlis Penasihat Orang Asli berasaskan model New Zealand Maori Council (NZMC) yang terbukti berjaya mempromosikan pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan budaya etnik tersebut.
“Melalui penubuhan majlis ini, kerajaan berharap suara dan aspirasi masyarakat Orang Asli dalam menentukan hala tuju pembangunan mereka dapat diperkukuhkan menerusi kerangka perundangan yang selaras dengan prinsip keazaman kendiri (self-determination),” katanya. – UTUSAN










