PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) masih meneruskan pelaksanaan penguatkuasaan pendidikan biar pun terdapat permohonan semakan kehakiman daripada beberapa pihak bagi mencabar peraturan mewajibkan kemudahaan jagaan swasta mempamerkan harga ubat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedar akan semakan kehakiman berkenaan dan menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung itu.
“Saya sangat memahami dan sedar semakan kehakiman yang mereka telah buat, seperti mana yang telah dikenakan semakan kehakiman terhadap Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024).
“Saya sebagai menteri menerima dan tiada masalah untuk kita dengar, kita benarkan proses itu, kita hormati proses perundangan yang sedang berlangsung.
“Kita akan teruskan pelaksanaan penguatkuasaan pendidikan supaya tak ada lompong sehingga semakan kehakiman diputuskan oleh mahkamah,” katanya selepas merasmikan Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) di sini hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersama tujuh yang lain memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar peraturan mewajibkan kemudahan jagaan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat-ubatan.
Pemohon lain adalah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sabah (APPS), Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM), Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM).
Turut memfailkan permohonan sama ialah Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia (MPDPA), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS) dan seorang pengamal perubatan yang mengendalikan klinik di Lahad Datu di Sabah, Dr Saifulbahri Ahmad @ Mohd Zailani.
Berdasarkan permohonan difailkan menerusi firma guaman Tetuan Ngeow Law Practice pada 25 Julai lalu itu, mereka menamakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Menteri Kesihatan dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga ketiga.
Mereka memohon kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah untuk membatalkan keputusan KPDN bertarikh 29 April lalu (yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 30 April 2025). – UTUSAN