KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya dalam usaha menangani rasuah, meskipun prestasi penguatkuasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan pencapaian yang membanggakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu rasuah bukan sahaja bersifat endemik tetapi juga sistemik, sekali gus memerlukan usaha berterusan dan pemantauan rapi.
“Kerajaan akan terus berusaha membanteras isu rasuah terutama melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi walaupun berdepan cabaran besar dalam sistem politik dan pentadbiran negara.
“Kami telah meneliti semua isu rasuah yang besar termasuk melibatkan bekas perdana menteri, bekas menteri, malah kami juga memantau dengan teliti setiap anggota Kabinet serta jentera kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara, hari ini.
Sebelum ini, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang disiasat dalam kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat, direman tujuh hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pada 23 Disember lalu, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Perdana Menteri berkata, reformasi dalam mana-mana institusi memerlukan kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanan serta keberhasilan pelaksanaannya.
“Tetapi seperti yang saya nyatakan sebelum ini, rasuah bukan sahaja bersifat endemik, malah sistemik. Ia memerlukan banyak usaha.
“Saya menghormati agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen dan lain-lain.
“Tekad kerajaan jelas walaupun menghadapi cabaran politik. Setiap kali kita menyentuh seorang pemimpin penting atau tokoh besar, pasti akan timbul persoalan mengenai keputusan tersebut. Namun, kami akan terus mengekalkan usaha membanteras rasuah,” katanya.
Kata Anwar, walaupun kerajaan kurang mendapatkan sokongan daripada pemimpin politik termasuk pembangkang, perkara itu tidak akan melemahkan usaha kerajaan untuk membanteras isu rasuah di negara ini.
Menurut beliau, semua langkah penguatkuasaan perlu diteruskan bagi memastikan integriti serta pentadbiran negara kekal terpelihara.
“Walaupun terdapat cabaran, kerajaan tetap komited dan akan meneruskan semua usaha penguatkuasaan dengan penuh ketegasan. Kami menghargai semua pihak yang terlibat, tetapi isu besar masih perlu ditangani secara berterusan,” katanya.-UTUSAN










