Tolak cubaan normalisasi budaya LGBT

Tolak cubaan normalisasi budaya LGBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masyarakat Islam di negara ini perlu menolak cubaan menormalisasikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang jelas songsang dari ajaran agama.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya menentang keras sebarang bentuk aktiviti yang bertujuan mempromosi, menyokong dan menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBT.

Beliau mengingatkan individu muslim tidak menyertai, mempromosi, menyokong atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikaitkan dengan normalisasi gaya hidup songsang itu.

“Ini kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah ia turut bercanggah dengan undang-undang, nilai budaya timur dan norma masyarakat di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, tular poster mengenai penganjuran program perkhemahan ‘Glamping with Pride’ kerana mempromosikan aktiviti hubungan sejenis dan LGBT.

Menerusi poster berkenaan, aktiviti anjuran ‘jejaka.org’ itu dikatakan akan berlangsung pada 17 hingga 18 Januari ini di sebuah tempat rekreasi di Hulu Langat.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap penganjuran program yang akan diadakan pada minggu depan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang cubaan menyebar dan mempromosikan budaya LGBT di negeri itu.

Salehuddin berkata, MAIS turut menyeru masyarakat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda normalisasi LGBT yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak masyarakat.

“Dalam masa yang sama, MAIS menasihatkan mereka yang telah terjebak dengan gaya hidup songsang ini untuk kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan yang dijalankan oleh MAIS, pihak berkuasa agama lain atau pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan pemulihan yang berkaitan,” katanya.

Tambahnya, MAIS menyatakan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan untuk memastikan aktiviti normalisasi dan penyebaran pengaruh hidup songsang dan LGBT dapat disekat serta dicegah.

“MAIS juga akan bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi Kerajaan lain untuk memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam.

“Serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam sebagai suatu usaha untuk memastikan budaya songsang ini tidak lagi diamalkan di negeri ini,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN