PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuhkan komitmen Malaysia dalam tindakan iklim menerusi Projek Kerjasama ASEAN-Korea untuk Mitigasi Metana (AKCMM).
AKCMM merupakan inisiatif serantau bernilai USD20 juta yang dibiayai oleh Dana Kerjasama ASEAN-Korea (AKCF) sedang dilaksanakan di sembilan (9) negara-negara anggota ASEAN dari tahun 2024 hingga 2027, termasuk Malaysia.
Kerjasama strategik ini dilaksanakan bersama Institut Pertumbuhan Hijau Global (GGGI).
GGGI bertindak sebagai rakan pelaksana bagi projek ini di bawah Kerjasama untuk Tindakan Metana ASEAN-ROK (PARMA), yang telah diumumkan semasa Mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN-ROK pada tahun 2023.
Inisiatif strategik ini menegaskan peranan utama NRES untuk memacu agenda alam sekitar negara serta menyokong aspirasi ASEAN ke arah sebuah komuniti yang berdaya tahan iklim.
Komitmen ini diteruskan melalui penyertaan Malaysia dengan lebih daripada 150 negara dalam menandatangani Ikrar Global Metana (Global Methane Pledge, GMP) pada Persidangan Perubahan Iklim (COP26) pada 2021.
Ikrar tersebut menyatakan iltizam Malaysia untuk mengurangkan pelepasan metana global secara kolektif sekurang-kurangnya 30% daripada paras tahun 2020 menjelang tahun 2030.
Bagi tujuan itu, NRES akan bekerjasama rapat dengan pemain-pemain industri bagi menghasilkan rangka kerja dan pelan tindakan pengurangan metana negara di akhir projek ini.
Majlis pelancaran Projek Mitigasi Metana ASEAN-Korea, telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) NRES, Datuk Nor Yahati Awang sempena Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN mengenai Alam Sekitar (ASOEN) ke-36 di Langkawi, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Sosio-Kebudayaan ASEAN, Chiden Balmes, Ketua Serantau Asia bagi GGGI, TYT. San Lwin, wakil Kedutaan Republik Korea di Malaysia , Jisun Jun serta delegasi-delegasi ASOEN.
Sementara itu, Malaysia menyambut baik potensi kerjasama alam sekitar antara ASEAN dengan Amerika Syarikat dan China. Melalui 4th ASEAN-US High-Level Dialogue on Environment and Climate Change serta 22nd ASEAN Plus Three Senior Officials Meeting on the Environment,
Malaysia menzahirkan komitmen untuk memperkukuh jalinan kerjasama strategik serantau dalam menangani cabaran alam sekitar dan perubahan iklim.
Malaysia percaya bahawa perkongsian dengan negara rakan seperti Amerika Syarikat dan China akan membolehkan perkongsian amalan terbaik, pemindahan teknologi serta kepakaran teknikal yang mampu menyokong usaha pembangunan mampan di rantau ini. – UTUSAN










