BAGI sesetengah pasangan, ucapan mahu berkahwin dua bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan gurauan. Bagaimanapun, penyanyi, Ariff Bahran mengakui perkara tersebut sudah menjadi sebahagian daripada jenaka antaranya dan isteri, Amirah Syazwani Ridzuan tanpa mengguris perasaan sesiapa.
Oleh itu, Bahran atau Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 29, berkata kenyataan yang pernah dikongsikan di aplikasi Threads sebelum ini tidak bermaksud apa-apa, bahkan dia belum terfikir untuk menambah cawangan memandangkan sedang diuji dengan pelbagai perkara termasuklah menjadi mangsa penipuan pihak yang mengaku penganjur konsert menelan hampir setengah juta ringgit.
“Itu gurauan suami isteri, cuma kalau ada rezeki, mengapa tidak?,” katanya berseloroh ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sudah ‘masak’ dengan usikan Bahran, isterinya, Amirah agak menyambut jenaka itu dengan amaran manja kerana tahu penyanyi itu tidak akan mengkhianati rumah tangga yang dibina mereka sejak lima tahun lalu.
“Respons isteri saya setiap kali bergurau adalah ‘ha pergilah’. Tapi saya tak buat sebab tidak mahu peningkan kepala.
“Lagipula saya tidak nafikan rezeki yang diperoleh hari ini juga hasil pertolongan isteri. Kami berniaga sama-sama, jadi sekali lagi, semua itu sekadar gurauan semata-mata. Saya setia orangnya, Insya-Allah,” tegasnya.
Tidak dinafikan, keberanian Bahran bergurau mengenai isu sensitif ini hadir di saat industri hiburan tanah air sedang ‘sakit’ dengan pelbagai pendedahan kes curang dan kemelut rumah tangga selebriti pastinya mengundang perhatian.
Bapa kepada tiga orang anak itu bagaimanapun mempunyai jawapannya sendiri. Dia mengakui imejnya di media sosial mungkin kelihatan agak kasar atau provokatif, namun itu adalah caranya mengekspresikan diri tanpa perlu bersikap hipokrit.
“Saya tahu cara penyampaian saya mungkin nampak kasar sedikit, tapi saya hanya menyatakan fakta dan menjadi diri sendiri. Isteri saya pun faham cara saya bergurau bagaimana. Kami hanya bermain dengan trend yang tengah panas sekarang,” tambahnya yang turut menegaskan tidak pernah menerima godaan daripada wanita di laman sosial.

Bukan berhenti bernyanyi
Bercakap mengenai kerjaya nyanyian, Bahran mengakui dirinya kini lebih cenderung untuk meluaskan perniagaan selain merasakan kerjaya sebagai penyanyi tidak membawanya ke mana-mana. Bagaimanapun itu tidaklah bermakna dia berputus asa sebagai anak seni.
“Saya sudah cuba dengan menerbitkan single terbaharu sebelum bulan puasa tempoh hari, tapi semuanya masih sama. Mungkin rezeki saya di tempat lain, saya percaya itu.
“Saya tak putus asa sebab saya masih lagi nak buat konsert, acara cuma bernyanyi mungkin rezeki itu tiada,” jawabnya.
Bagaimanapun, Bahran mengakui menyimpan hasrat untuk menganjurkan konsert berskala kecil untuk rakan-rakan penyanyinya.
“Saya suka nak bantu kawan-kawan saya buat konsert. Tapi sekarang saya jadi takut-takut sebab kes ditipu tempoh hari. Kalau tidak, mungkin saya sudah buat banyak konsert sekarang. Saya selesaikan kes ini dulu dan belajar daripada kesilapan,” katanya.










