Nasi kerabu Muni laris di Perth

Nasi kerabu Muni laris di Perth

GERAI Cili Padi by Muni di pasar pagi Ahad di Canning Vale, Perth.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aroma masakan tradisi Melayu yang menusuk selera setiap pagi Ahad di Market City, Canning Vale, bukan lagi perkara baharu bagi masyarakat setempat.

Di celah-celah kesibukan pengunjung pelbagai bangsa, terserlah kegigihan usahawan Melayu mengangkat cita rasa Nusantara ke persada Australia.

Antara gerai yang paling mendapat perhatian ialah Cili Padi by Muni, diusahakan oleh pasangan berpengalaman, Yaacob Ali, 73, dan isterinya Muni Affendi.

YAACOB ALI

Perniagaan keluarga ini bermula sejak 2008 dan kini diteruskan oleh anak lelaki mereka, Faiz, 32, yang mengambil alih sepenuh masa sejak empat tahun lalu.

Dari Kota Bharu ke Perth

Berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu, keluarga ini berhijrah ke Perth dengan membawa bersama-sama mereka resipi turun-temurun.

Bahkan, sebahagian bahan mentah seperti cili dan budu masih dibawa dari tanah air bagi mengekalkan keaslian rasa.

Faiz, yang datang ke Australia ketika berusia empat tahun, kini tampil sebagai peneraju baharu perniagaan keluarga itu.

FAIZ YAACOB

Namun, peranan Yaacob yang sudah menempuh perjalanan karier penuh warna terus menjadi tulang belakang operasi harian.

Yaacob pernah merantau ke Kanada sebelum menetap dan berkhidmat sebagai chef di Frazer’s Restaurant, Kings Park, satu daripada lokasi paling ikonik di Perth.

Selepas bersara, dia menumpukan sepenuh masa membantu isterinya membangunkan Cili Padi by Muni.

“Saya hanya bantu mana yang perlu. Yang hebat memasak sebenarnya isteri saya,” selorohnya sambil menyusun lauk pauk kegemaran ramai di gerai pagi Ahad.

Nasi kerabu, sate hingga teh tarik

Gerai Cili Padi by Muni bukan sahaja popular dalam kalangan rakyat Malaysia, malah menjadi pilihan masyarakat tempatan, khususnya komuniti Cina Australia dan Hong Kong.

Menu seperti nasi kerabu, lontong, nasi lemak, sate, roti canai dan teh tarik sering mendapat permintaan tinggi sehingga ada pelanggan sanggup beratur panjang.

“Nasi kerabu yang Muni buat memang paling dicari. Bukan orang Malaysia sahaja, malah ramai pelanggan Aussie dan Hong Kong yang sanggup datang awal,” kata Yaacob.

Faiz pula dikenali sebagai antara perintis pembuat sate asli Melayu di Perth, menarik ramai pelanggan yang merindui cita rasa asal tanah air.

Selain gerai di Pasar Ahad, keluarga ini turut mengusahakan sebuah restoran di Coventry Village, Morley yang beroperasi dari Selasa hingga Sabtu.

FAIZ menunjukkan kemahiran membuat teh tarik di bumi kanggaru.

Restoran ini menjadi tumpuan pelanggan yang mahu menikmati hidangan Melayu dalam suasana santai dan mesra keluarga.

Tidak hanya itu, Cili Padi by Muni turut aktif menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis perkahwinan, majlis berbuka puasa Ramadan, dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami gembira dapat membawa sedikit rasa kampung halaman kepada masyarakat Malaysia di sini dan pada masa sama memperkenalkan masakan Melayu kepada warga Australia,” kata Faiz.

Mengukir nama di bumi Australia

Kejayaan Cili Padi by Muni bukan sekadar kisah sebuah gerai makan, tetapi bukti bagaimana komuniti Melayu mampu berdiri teguh dan mewarnai kehidupan masyarakat majmuk di Perth.

Dengan ketekunan, warisan dan resepi turun-temurun, keluarga ini terus mengangkat martabat makanan Melayu di bumi kanggaru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN