PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa akan mencari isu baharu untuk memecah-belahkan Perikatan Nasional (PN) selepas peletakan jawatan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang.
Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail berkata, beliau menjangkakan isu seterusnya yang akan dimainkan Bersatu adalah mendesak Pas menerima parti-parti yang berlainan ideologi menjadi ahli PN.
Katanya, ia termasuklah ‘menyeludup’ masuk parti-parti yang dipimpin oleh Prof. Dr. P. Ramasamy dan P. Waytha Moorthy melalui Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
“Sebagai `trojan horse’, mereka akan terus mencipta masalah sehingga matlamat agar PN lemah dan berpecah tercapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan Ketua Pembangkang kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan adakah Bersatu telah meminta Speaker supaya tempat duduk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat dipindahkan supaya Pengerusi PN boleh mengambil alih kedudukan di sebelah Ketua Pembangkang yang baharu kelak.
“Dalam Dewan Rakyat, penyokong Muhyiddin kini lebih kecil dari Parti Amanah. Malahan, bilangan Ahli Parlimen Bebas pun lebih ramai daripada penyokong Muhyiddin. Sudah tidak ada nilai. Kalau ada maruah, elok pindah sebelum dipindahkan,” katanya.
Nordin antara beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat daripada parti kerana menyokong Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Dalam kenyataan sama, beliau berkata, keputusan Hamzah melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang adalah supaya tidak mahu menjadi alasan untuk Bersatu terus mengucar-ngacirkan PN.
Katanya, tindakan Hamzah melepaskan jawatannya itu melambangkan beliau seorang pemimpin berjiwa besar yang berjuang bukan kerana jawatan.
Tambahnya, rasional di sebalik keputusan Hamzah itu turut disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa tindakan itu bagi memudahkan proses dalam PN sekali gus memastikan kelancaran pentadbiran dan keharmonian gabungan pembangkang.
“Itulah sikap seorang yang ikhlas dalam perjuangan. Di bawah kepimpinan Hamzah, blok pembangkang berjaya memainkan peranan yang baik dan tersusun dalam Dewan Rakyat.
“Pembahagian portfolio di kalangan blok pembangkang menjadi kabinet bayangan yang berkesan dalam Parlimen. Bagi saya, langkah Hamzah ini adalah langkah awal sahaja, sebagai satu tindakan interim sebelum pengumuman lebih besar dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










