MESKIPUN berperang dengan masalah berat badan, Ratu Etnik Kreatif Malaysia, Noraniza Idris tidak akan sesekali melakukan pembedahan untuk mendapatkan badan yang langsing.
Tegas penyanyi lagu Awallah Dondang itu, beliau khuatir berlaku sebarang kemungkinan kesan sampingan atau komplikasi sekiranya mengambil kaedah tersebut.
Kekhuatiran itu menjadi asbab penolakannya terhadap pelawaan beberapa pihak yang pernah menyatakan keinginan untuk menaja beliau untuk melakukan pembedahan bariatrik.
“Saya tak nafikan memang saya pernah hampir terpengaruh dengan ajakan mereka. Siapalah yang tak terjebak melihatkan pula mereka yang melakukan pembedahan itu, berjaya pula menurunkan berat badan.
“Tapi suami saya tidak mengizinkan kerana khuatir berlaku kesan sampingan yang kita pun tak akan dapat nak jangka.
“Mujur saya tidak terpengaruh. Saya tak mahu menanggung perkara yang tidak diingini kelak sebab proses turunkan berat badan melibatkan pembedahan ini berisiko,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun keperluan untuk sihat dengan cara menurunkan berat badan mendesak penyanyi ini mengambil kaedah bukan pembedahan yang baginya, lebih selamat.
“Saya nak kurus untuk jaga kesihatan. Pada usia sekarang, dua perkara yang perlu saya pantau iaitu kadar kolesterol dan asid urik.
“Dan saya juga akui saya semput serta penat yang melampau apabila membuat persembahan. Bukan setakat menyanyi, naik tangga pun boleh buat saya tercungap-cungap.
“Bila peningkatan berat badan saya ditegur orang sekeliling, maka benarlah, memang saya perlu lakukan sesuatu. Keadaan ini tak boleh dibiarkan.
“Sebab itu saya ikut nasihat doktor berpengalaman yang menyarankan saya mencuba suntikan diet (Ozempic) untuk atasi masalah berat badan. Alhamdulillah, berkesan. Berat badan saya yang sebelum ini 84 kilogram (kg) turun kepada 79.9 kg,” kongsinya.
Kongsi penyanyi yang mesra disapa sebagai Kak Ani ini, beliau bagaimanapun tidak sekadar mengharapkan kaedah suntikan untuk menurunkan berat badan.
“Saya ini malas bersenam. Sebabkan itu saya pilih cara lebih menyeronokkan dengan menganjurkan latihan tarian zapin selama dua jam pada setiap malam Sabtu untuk keluarkan peluh,” jelasnya.
Disoal mengenai keterbukaannya berkongsi mengenai pengambilan suntikan diet untuk kurus, Noraniza menegaskan tidak ada yang perlu disembunyikan memandangkan kaedah yang digunakan selamat digunakan.
“Saya tak sembunyikan kebenaran. Buat apa saya nak nafikan, bukannya sekerat dua yang guna kaedah ini, sebaliknya ramai.
“Saya pun nak ajak orang lain untuk atasi isu kesihatan dengan cara turunkan berat badan, jadi tak ada apa yang perlu disorokkan,” ceritanya. – UTUSAN