PETALING JAYA: Penyanyi, Noraniza Idris sekali lagi meluahkan rasa kesal apabila produk muruku keluarannya, Che Ani Premium didakwa diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Hanya menukar ejaan nama pada bungkusan, Noraniza yang mesra disapa Ani memaklumkan produk ‘Cik Annie’ itu turut dipasarkan secara runcit di kawasan kampung.
Bukan itu sahaja, jenama tersebut turut meniru identiti produk muruku penyanyi tersebut secara bulat-bulat termasuk penggunaan warna dan tipografi
“Saya berusaha membina jenama ini dengan penuh kasih dan komitmen. Bila ada yang sewenang-wenangnya meniru, ia bukan sekadar menciplak produk seolah-olah ia menciplak perjuangan saya.
“Kalau nak ikut jejak saya, ikutlah dengan cara yang betul, bukan ambil jalan pintas dengan meniru rupa dan nama produk kami. Rezeki itu luas, tapi kalau cari rezeki dengan mencuri hasil titik peluh orang lain, itu bukan cara yang berkat,” tegas Noraniza yang juga pengasas Che Ani Premium.
Dalam masa sama, pengarah urusan Che Ani Premium, Afiq Haikal, turut membuat tinjauan ke premis yang dipercayai menjual produk tiruan berkenaan.
“Sepatutnya tidak boleh sama macam ini. Saya dapat panggilan daripada kawan mengatakan ada produk seakan-akan Che Ani Premium dijual dengan harga RM5 sepek,” jelasnya menerusi sebuah video yang tular.
Lebih mengeruhkan keadaan, pemilik premis terbabit juga enggan memberi kerjasama dan tidak mahu mendedahkan pembekal yang menyalurkan produk tersebut kepadanya.
Namun begitu, pemilik kedai terbabit enggan memberikan kerjasama dan tidak mahu mendedahkan dari mana produk tersebut diperoleh.
“Saya ambil kat mana, abang tak payah tahulah. Itu hal saya. Abang tak nak beli, tak apa. Ini saya punya,” tegas peniaga itu.
Pun begitu, penyanyi lagu Dikir Puteri itu juga mengambil inisiatif untuk membuat penambahbaikan produk dari segi bentuk dan rasa sebagai langkah untuk menangani masalah tersebut.
Malah, pihak Che Ani Premium juga sedang menghabiskan stok muruku sedia ada buat masa ini kerana masih berbaki 10,000 unit sebelum beralih ke pembungkusan baharu.
“Disebabkan produk kita diciplak, kami rancang untuk tukar bentuk muruku dan pembungkusan baharu. Tapi kos pembungkusan baharu sangat tinggi, jadi kami habiskan stok lama dahulu.
“Walaupun bentuknya masih panjang-panjang dan jenis jejari, berat dan rasa tetap sama. Malah, kami akan pastikan rasa lebih sedap dari sebelumnya,” katanya.
Sempena ulang tahun kedua Che Ani Premium yang bakal disambut pada Julai ini, syarikat tersebut akan mengadakan promosi istimewa untuk para pelanggan setia.
Antaranya, pembelian Set Kotak Warisan akan menerima 1 pek percuma perisa kari, terhad kepada 100 pembeli terawal sahaja.-UTUSAN