Mohd. Sabirin dilantik Setiausaha MAIS baharu

Mohd. Sabirin dilantik Setiausaha MAIS baharu

MAIS
MOHD. SABIRIN MOHD. SARBANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini dilantik sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan beliau menggantikan Dr. Ahmad Shahir Makhtar yang tamat tempoh perkhidmatan semalam.

MAIS menerusi pengumuman itu memaklumkan, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan baharu berkenaan.

“Mohd Sabirin yang berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) memegang beberapa jawatan penting di LZS termasuk Ketua Divisyen Kutipan, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf dan Ketua Pegawai Eksekutif.

“Selain itu, beliau merupakan Perancang Kewangan berdaftar di bawah Majlis Perancangan Kewangan Islam (MFPC), ahli Persatuan Percukaian Malaysia (MATA) dan mempunyai tauliah mengajar Selangor di bawah MAIS,” katanya, hari ini.

Tambahnya, pelantikan Mohd. Sabirin diharap akan meneruskan kecemerlangan MAIS dan memperkukuhkan lagi agenda memperkasakan hal ehwal Islam di negeri ini.

MAIS menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Shahir Makhtar atas sumbangan, kesetiaan dan khidmat bakti sepanjang menjalankan tugas sejak 16 Julai 2019.

“Sepanjang tempoh itu, beliau menerajui dengan penuh komitmen dan dedikasi termasuk merealisasikan Pelan Strategik MAIS 2020-2024 meliputi semua jabatan hal ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat.

“Beliau juga memperkasakan perkhidmatan MAIS ke arah digitalisasi antaranya pembangunan Sistem e-Tauliah, Wasiat dan Hibah (e-Siswa) dan e-Faraid selain membantu ke arah penerimaan Anugerah Emas di International Convention on Quality Control Circle (ICQCC), Sri Lanka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN