MIC masih relevan, perlu bangkit raih sokongan rakyat

MIC masih relevan, perlu bangkit raih sokongan rakyat

KETUA Wanita UMNO Raub, Zulriyaini Yahya menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Zahid Hamidi selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: MIC masih memainkan peranan penting dalam Barisan Nasional (BN) namun masa depan parti itu bergantung kepada kemampuan mereka untuk meraih kembali sokongan masyarakat India.

Pengerusi BN,  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejak zaman Perikatan, MIC bersama UMNO dan MCA menjadi rakan kongsi politik yang saling melengkapi dalam menjaga kepentingan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“MIC adalah sebuah parti yang tersusun dan mempunyai akar umbi kukuh. Namun dalam landskap politik semasa, mereka perlu tampil lebih kuat dengan mendapatkan kembali keyakinan masyarakat India,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan baru-baru ini yang mendakwa MIC kini seolah-olah dipinggirkan dalam kerajaan dan tidak lagi dilihat penting dalam struktur BN.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN sentiasa terbuka dan bersedia mengukuhkan kembali kerjasama tradisional antara parti-parti komponen, namun ia harus disandarkan kepada kekuatan sebenar yang dibina melalui sokongan rakyat.

“Jika MIC berjaya mendapatkan kembali kepercayaan pengundi India, saya yakin mereka  kembali mendapat tempat dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Kami dalam BN sentiasa bersedia mengangkat semula kekuatan bersama,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menyatakan pendirian tegas UMNO menolak sebarang bentuk perhimpunan atau tindakan politik yang boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan yang sedang mentadbir negara.

“UMNO tidak sesekali menyokong mana-mana perhimpunan yang boleh membawa perpecahan atau kekacauan. Kita adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan mesti mempertahan kestabilannya,” tegas beliau.

Katanya, mana-mana ahli UMNO yang terlibat dalam perhimpunan tidak rasmi atau gerakan politik yang bercanggah dengan dasar parti akan disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.

“Saya akan teliti terlebih dahulu siapa yang terlibat dan apakah tujuan mereka. Selepas itu kita akan nilai pendirian mereka dan bincang di peringkat parti untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Berhubung titah adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, ia perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.

“Saya akan lakukan apa sahaja dalam ruang lingkup undang-undang bagi memastikan titah adendum itu dilaksanakan dengan tertib dan penuh keadilan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×