Melaka terima RM4b pelaburan pembangunan harta tanah

Melaka terima RM4b pelaburan pembangunan harta tanah

AB. Rauf Yusoh melihat reka bentuk projek yang akan dibangunkan selepas merasmikan pelancaran Pejabat Jualan MTD Properties di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka hari ini.- UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak RM4 bilion jumlah pelaburan dalam pembangunan hartanah bakal diterima kerajaan Melaka menerusi kerjasama dengan syarikat MTD Properties.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pelaburan tersebut mencerminkan keyakinan pihak swasta terhadap potensi Melaka sebagai destinasi terbaik untuk pelaburan utama.

Menurutnya, pelaburan besar itu bakal membuka banyak peluang pekerjaan selain turut merancakkan aktiviti ekonomi di Ayer Keroh dan memberi kesan positif kepada kesejahteraan sosial masyarakat.

“Nilai pelaburan sebanyak RM4 bilion membuktikan kepercayaan syarikat ini terhadap potensi negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama.

“Saya difahamkan tahun ini syarikat ini merancang pembangunan strategik baharu di kawasan Ayer Keroh yang bakal membawa potensi besar kepada rakyat daripada peluang pekerjaan, peningkatan aktiviti ekonomi setempat hinggalah kepada limpahan manfaat sosial secara menyeluruh.

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk membina sebuah negeri yang berdaya huni, mesra pelabur dan rakyat sejahtera tanpa mengetepikan nilai warisan, sejarah dan budaya,” katanya kepada pemberita selepas selepas merasmikan Pejabat Jualan MTD Properties di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, pembangunan berkenaan melibatkan tiga projek baharu iaitu pembinaan rumah teres dan kilang berteknologi pintar.

Kata beliau, syarikat tersebut bukan lagi asing malah mempunyai lebih 35 tahun pengalaman dalam industri pembangunan hartanah di dalam dan luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN