KARI ikan talang masin bersama nanas biasanya dinikmati dengan nasi putih.
Namun, sajian tradisi ini sebenarnya boleh diolah dalam hidangan yang lebih moden.
Dalam resipi ini, pasta penne digunakan sebagai pengganti nasi dan dimasak bersama kari ikan talang masin nanas.
Menu fusion yang menggabungkan cita rasa Barat dan tempatan ini sesuai dinikmati bersama keluarga pada hujung minggu.
Kredit: Mohd. Faizal Abdul Ghani, Ketua Cef di Temple Tree Resort Langkawi

Bahan-bahan:
• 1 kilogram ikan talang masin (dipotong sederhana)
• 50 gram batang kayu manis
• 30 gram bunga cengkih
• 30 gram buah pelaga
• 150 gram bawang besar Bombay (dikisar)
• 70 gram bawang putih (dikisar)
• 50 gram halia (dikisar)
• 200 gram serbuk kari ikan
• 20 gram daun kari
• 300 mililiter santan
• 700 mililiter air
• 500 gram nanas (dipotong sederhana)
• 60 militer minyak masak
• 120 gram pasta penne kering
Cara penyediaan:
• Bilas ikan talang masin, kemudian rendam dalam air bersih selama 20 hingga 30 minit untuk mengurangkan rasa masin. Toskan dan lap sehingga kering.
• Campurkan serbuk kari ikan dengan kira-kira 200 mililiter daripada sukatan air sehingga menjadi pes yang licin.
• Panaskan minyak dalam periuk, kemudian tumis kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan daun kari selama 2 minit sehingga naik bau.
• Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dikisar. Tumis selama 5 hingga 7 minit sehingga lembut dan harum.
• Masukkan pes kari dan masak dengan api sederhana perlahan selama 8 hingga 10 minit, atau sehingga rempah masak dan minyak mula terpisah.
• Tuangkan santan dan baki air secara beransur-ansur sambil dikacau. Masukkan ikan masin dan nanas, kemudian reneh perlahan selama 12 hingga 15 minit sehingga nanas lembut dan kuah sedikit pekat.
• Rebus 120 gram pasta penne bagi setiap hidangan sehingga al dente dan toskan. Hidangkan bersama 180 hingga 200 gram gulai ikan masin nanas.
Catatan cef:
• Tahap kemasinan ikan boleh berbeza-beza. Laraskan tempoh rendaman mengikut keperluan dan sentiasa rasa kuah sebelum menambah perasa.
• Nanas membantu menyeimbangkan rasa masin dan santan.











