MELAKA: Sektor kesihatan awam negeri ini juga berdepan tekanan apabila mengalami kekurangan lebih 1,000 orang jururawat dan kira-kira 30 pegawai perubatan sehingga menjejaskan kelancaran operasi di hospital dan klinik kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, situasi tersebut bukan sahaja membebankan petugas sedia ada malah berisiko menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri telah membawa perkara itu ke perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad agar penyelesaian segera dapat dicapai.
“Kami telah menyuarakan kepada Menteri Kesihatan supaya Melaka diberi perhatian khusus dalam isu kekurangan jururawat dan pegawai perubatan ini.
“Keadaan sekarang menyebabkan doktor dan pakar perubatan terpaksa bekerja dalam tempoh masa panjang, kadangkala melebihi had biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan ‘Oh My Health’ di Pusat Perubatan Oriental Melaka Straits di Klebang, di sini hari ini.
Tambahnya, masalah kekurangan kakitangan kesihatan di negeri ini bukan isu baharu, namun belum ada penyelesaian sejak beberapa tahun lalu.
“Masalah ini sudah lama membelenggu kita, namun sehingga kini belum ada penyelesaian jangka panjang dan yang memburukkan keadaan, pegawai sedia ada juga sering bertukar ke negeri lain, menyebabkan penambahan perlu dibuat secara konsisten.
“Walaupun impaknya di Melaka belum sampai ke tahap kritikal namun ia dilihat perlu dan kita tidak boleh menafikan bebanan yang dihadapi jururawat dan pakar kesihatan setiap hari yang terpaksa bekerja syif panjang dan tanggungjawab bertambah dari tahun ke tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengakui isu penghijrahan doktor dan pakar ke Singapura mampu menjadi cabaran besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika tidak ditangani dengan baik.
Tambahnya, buat masa ini, Melaka tidak terlalu terkesan dengan isu itu berbanding Johor yang bersempadan langsung dengan Singapura namun, kebimbangan timbul jika trend tersebut berterusan, sehingga boleh menyebabkan kekurangan pakar tempatan semakin serius. – UTUSAN