Penstrukturan semula sistem kerja kekang jururawat berhijrah

Penstrukturan semula sistem kerja kekang jururawat berhijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penstrukturan semula sistem kerja jururawat secara menyeluruh perlu dilaksanakan segera sebagai langkah utama bagi memastikan tenaga jururawat kekal berkhidmat dalam negara.

Pengerusi Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia, Muhammad Julihan Kamari berkata, isu kehilangan jururawat tidak boleh dilihat daripada faktor gaji semata-mata, sebaliknya berpunca daripada pengagihan beban kerja yang tidak seimbang mengikut gred perkhidmatan.

“Pada masa ini, jururawat gred U5 menanggung sebahagian besar beban kerja klinikal di lapangan, sedangkan jururawat yang dinaikkan pangkat secara time-based atau KUP serta ke atas lebih tertumpu kepada tugasan pengurusan.

“Keadaan itu mewujudkan tekanan kerja berlebihan dalam kalangan jururawat barisan hadapan walaupun nisbah keseluruhan jururawat mengikut gred sebenarnya mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti dengan lebih cermat unjuran kekurangan jururawat, susulan laporan mendakwa 60 peratus jururawat hilang menjelang 2030 atas pelbagai faktor termasuk berhijrah ke luar negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, data menjadi asas unjuran itu baru sahaja diterima dan kementerian memerlukan masa menilai kesahihan serta ketepatan maklumat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Muhammad Julihan berkata, pembahagian kerja yang kurang kemas perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Jika ini diselesaikan, jumlah petugas yang ingin berhenti itu rendah. Apa yang saya nampak, ramai juga petugas KKM pergi ke hospital swasta, bukan hanya luar negara,” katanya.

Mengulas mengenai memanfaatkan perpindahan jururawat kepada ekonomi negara, beliau berkata, jururawat mungkin boleh dihantar secara jangka masa pendek.

Katanya, perpindahan itu akan merugikan profesyen kejururawatan Malaysia kerana bakal kekurangan jururawat pakar.

“Sepatutnya kepakaran itu kita gunakan dan fokus kualiti perkhidmatan kepada pesakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN