KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan writ saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd Rahman terhadap Saik Abdullah Tuan Tengah.
Saik Abdullah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tuan Mandak, Kuala Nerus didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap beliau sebelum ini.
Bagaimanapun Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menetapkan 17 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula bagi menentukan jumlah tuntutan saman yang bakal dibayar kepada Ahmad Razif.
Tuduhan yang dikemukakan sebelum ini termasuk dakwaan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan amalan tidak beretika ketika memegang jawatan dalam kerajaan negeri.
Menurut Ahmad Razif, komen berunsur fitnah itu dimuat naik pada 28 Mac lalu dan secara jelas menggambarkan dirinya sebagai seorang pengamal rasuah serta salah guna kuasa.
“Saya telah mengarahkan pasukan guaman mengeluarkan Notis Tuntutan Permohonan Maaf secara rasmi kepada Saik Abdullah pada 17 April lalu. Namun selepas tujuh hari, tiada sebarang maklum balas atau penarikan balik kenyataan dibuat,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau kemudian memfailkan saman sivil bagi menuntut ganti rugi selepas pihak terbabit gagal memberi sebarang kerjasama.Walaupun writ saman telah diserahkan, Saik Abdullah tidak hadir ke mahkamah dan tidak memberi sebarang respon terhadap tindakan undang-undang itu.
Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja bertujuan membersihkan namanya, malah memberi mesej bahawa fitnah dan tuduhan palsu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.
“Saya harap tindakan ini menjadi peringatan agar semua pihak lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan sebarang kenyataan, lebih-lebih lagi di ruang terbuka,” katanya.
Ahmad Razif diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Fatini Athirah Baharin. – UTUSAN










