GEORGE TOWN: Tindakan Kerajaan Madani yang meletakkan beberapa syarat kepada penganjur dan peserta Himpunan Turun Anwar sebagai tidak profesional dan mencerminkan ketakutan mereka terhadap kebangkitan suara rakyat.
Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, tindakan itu disifatkan satu langkah terdesak oleh pihak kerajaan untuk menyekat gelombang rakyat yang semakin lantang bersuara.
“Apabila keputusan mahkamah sudah membenarkan perhimpunan tersebut, maka, ia jelas menunjukkan bahawa ia (Himpunan Turun Anwar) tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan dengan hak kebebasan untuk bersuara.
“Dalam hal ini, kita hormati keputusan mahkamah membenarkan perhimpunan aman dan ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi, apabila kerajaan cuba cari ruang untuk sekat atau kurangkan jumlah kehadiran, itu tanda mereka sangat takut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun seksyen tertentu Akta Perhimpunan Aman diisytihar tidak berperlembagaan, tiga perkara utama masih kekal dan perlu dipatuhi penganjur serta peserta Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.
Tiga larangan utama utama itu ialah tidak dibenarkan membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh isu 3R iaitu raja, agama dan kaum serta tidak dibenarkan untuk membawa kanak-kanak.
Muhammad Fawwaz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, isu membawa senjata dan membawa kanak-kanak yang ditimbulkan sebagai antara syarat yang perlu dipatuhi disifatkan sebagai cubaan mencetuskan persepsi buruk terhadap peserta.
“Semua faham bahawa perhimpunan ini (perhimpunan) aman. Kalau ada senjata pun, itu mungkin unsur provokasi luar. Peserta kita tidak terlibat dalam isu begitu.
“Dulu masa Reformasi 1998, ramai yang bawa anak. Tapi polis masa itu bertolak ansur. Sekarang, isu ini dibangkitkan semata-mata untuk takutkan orang ramai,” katanya.-UTUSAN










