Koperasi instrumen penting bantu anggota, rakyat

Koperasi instrumen penting bantu anggota, rakyat

EWON Benedick (tengah), Pengerusi Co-op Bank Pertama, Datuk Baharom Embi (dua dari kanan); Ketua Pegawai Eksekutif Co-op Bank Pertama, Khairil Anuar Mohammad Anuar (kanan); Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (dua dari kiri) dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal (kiri) ketika menyempurnakan gimik Perasmian Wisma Co-op Bank Pertama di Wisma Co-op Bank Pertama, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Koperasi adalah instrumen penting dalam membantu anggotanya meningkatkan taraf hidup termasuklah sebagai ejen pengupayaan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peranan institusi kewangan itu amat penting khususnya dalam membantu golongan B40, usahawan mikro dan komuniti setempat.

Antara lain, katanya, ia adalah untuk membolehkan golongan tersebut mendapatkan kemudahan kewangan menerusi pembiayaan serta perkhidmatan perbankan.

“Seperti mana yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia berdasarkan data perangkaan sehingga Disember 2024, lebih 16,000 koperasi telah diperbadankan dengan keanggotaan koperasi mencecah lebih 7.2 juta ahli.

“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam kalangan anggota koperasi, tetapi juga kebijaksanaan pengurusan koperasi dalam merancang dan melaksanakan strategi perniagaan yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Wisma Co-opbank Pertama yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pihak kerajaan juga akan terus memberi sokongan dan memperkukuhkan sektor koperasi sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi rakyat.

Sementara itu, Anwar turut mengucapkan tahniah atas prestasi perniagaan CBP yang memberangsangkan apabila mencatatkan keuntungan yang tertinggi sepanjang penubuhannya.

Menurutnya, CBP berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM124.29 juta dengan aset keseluruhan sebanyak RM12.84 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024, buat pertama kalinya.

“Saya yakin dengan perasmian Wisma CBP pada hari ini dapat dijadikan sebagai platform terbaik bagi Kuskop khususnya bersama agensi-agensi di bawah seliannya mengetengahkan serta mengiktiraf kejayaan koperasi di peringkat nasional,

“Seterusnya menggalakkan penyertaan masyarakat umum dalam sektor koperasi serta menggiatkan inisiatif penglibatan koperasi kepada pembangunan sosioekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN