SKM perlu percepat digitalisasi koperasi

SKM perlu percepat digitalisasi koperasi

SKM digital
R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) disaran mempercepatkan penggunaan digital kepada semua koperasi dalam mempromosikan produk dengan kos lebih rendah dengan capaiannya secara meluas.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kaedah pendigitalan itu mampu menjadi alternatif kepada koperasi berbanding kaedah konvensional yang menelan kos tinggi.

“Sebagai contoh, kita lihat ada pengusaha produk kosmetik atau perkhidmatan spa tidak mampu pasang papan iklan kerana kos mahal. Begitu juga dengan iklan akhbar, kosnya tinggi dan terhad.

“Sebab itu, kita bekerjasama dengan agensi tertentu termasuk di bawah kementerian dengan peluang digitalisasi bagi mereka mempromosi produk secara dalam talian,” katanya selepas menyempurnakan majlis Taklimat Pembudayaan Koperasi dan Usahawan Selangor, hari ini.

Pada program itu, sejumlah RM2.4 juta bantuan disampaikan bagi memperkasakan koperasi komuniti India.

Jelas Ramanan, wujud program atau inisiatif khusus disediakan termasuk penyediaan studio ‘TikTok Live’ secara percuma sehingga hujung bulan ini.

“Inisiatif itu bertujuan melatih koperasi dan usahawan bagi melariskan lagi jualan produk mereka. Program sebegini disusun khas untuk menjana pendapatan lebih tinggi kepada para usahawan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 2,189 koperasi berdaftar di Selangor dengan keanggotaan melebihi 654,000 sehingga hujung tahun lalu.

“Bagi tempoh sama, aset semua koperasi berkenaan berjumlah RM2.81 bilion manakala perolehannya mencatatkan sebanyak RM769 juta.

“Daripada jumlah itu, 121 koperasi masyarakat India telah berdaftar dengan 52,882 ahli dan aset bernilai RM209.9 juta selain perolehan hampir RM11.8 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN