Penstrukturan semula beri peluang peminjam lunas hutang tertunggak

Penstrukturan semula beri peluang peminjam lunas hutang tertunggak

Baharom (tiga dari kiri) menandatangani plak perasmian RLSB di Taman Selat, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Penstrukturan semula pembayaran pinjaman yang ditawarkan Co-opbank Pertama (CBP) menerusi anak syarikatnya, River Leaf Sdn. Bhd. (RLSB) membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang membelenggu rakyat ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, khidmat nasihat kewangan yang ditawarkan itu membantu pihaknya merangka pelan bayaran balik sekali gus memudahkan peminjam melunaskan hutang tertunggak.

“Berdasarkan rekod, terdapat ribuan akaun melibatkan baki pembiayaan puluhan juta dan kita mahu peminjam lunaskannya berdasarkan kemampuan masing-masing.

“Ada juga kes membabitkan peminjam yang telah meninggal dunia dan warisnya boleh ke sini untuk mendapatkan rundingan bagi memudahkan baki hutang dapat dijelaskan.

“Kita bertindak sebagai pemudahcara dan membantu peminjam melakukan penyusunan pelan pembayaran balik mengikut kemampuan semasa,” katanya selepas merasmikan Pejabat Urusan RLSB di Taman Selat di sini, hari ini.

Jelas Baharom, syarikat terbabit iaitu RLSB adalah anak syarikat CBP yang dijenamakan semula daripada Pembangunan BPSP Sdn. Bhd.

“Selain itu, antara aktiviti perniagaan yang dijalankan termasuk pengurusan hartanah CBP, kutipan ke atas akaun pembiayaan CBP yang dihapus kira.

“Pada masa yang sama, kita turut menjalankan pengurusan emas dan khidmat latihan atau konsultasi kepada koperasi di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi memastikan prestasi kekal cemerlang, pihaknya menetapkan sasaran yang mampu menjana pendapatan menerusi Pelan Strategik 2024-2028.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×