PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) akan memperkenalkan produk terbaharunya, Akaun SalamBiz-i iaitu akaun semasa yang terbuka kepada pelanggan individu dan bukan individu bermula 1 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, produk baharu ini dapat membantu CBP untuk menyediakan rangkaian produk deposit yang lengkap kepada pelanggan CBP.
“Produk SalamBiz-i ini terbuka kepada semua pelanggan individu dan korporat termasuk syarikat, persatuan, kelab, koperasi badan profesional serta agensi kerajaan dengan pembukaan akaun minimum serendah RM100 dan tertakluk kepada terma dan syarat.
“Bagaimanapun, deposit minimum ini boleh dikecualikan sekiranya pembukaan akaun SalamBiz-i ini adalah di atas tujuan pengeluaran pembiayaan,”katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, produk baharu itu dilihat dapat menyokong pertumbuhan perniagaan CBP 2024-2025 seterusnya dapat memberi manfaat kepada pelanggan dan anggota CBP.
Pada ketika ini, CBP menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan perbankan seperti Deposit simpanan-i Salam, pembiayaan perumahan, pembiayaan koperasi dan korporat, Ar Rahnu dan pendapatan berasaskan fi. – UTUSAN










