GEORGE TOWN : Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan peningkatan jumlah koperasi belia yang lebih berkualiti pada tahun depan sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa penglibatan golongan muda dalam sektor koperasi negara.
Pengerusinya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, ketika ini, jumlah koperasi belia masih rendah berbanding jumlah keseluruhan koperasi yang ada dan satu langkah agresif perlu diambil bagi ‘mengarusperdanakan’ koperasi dalam kalangan belia.
“Setakat 31 Disember 2024, terdapat 207 koperasi belia di seluruh negara dengan keanggotaan sekitar 87,000 orang berbanding keseluruhan 16,284 koperasi yang berdaftar di Malaysia.
“Angka ini masih kecil dan menunjukkan keperluan mendesak untuk kita memperkasa belia kerana merekalah masa depan gerakan koperasi. Belia bukan sekadar pelengkap, sebaliknya ‘enjin’ utama kepada kelestarian koperasi,” katanya selepas merasmikan laman Coop City Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, hari ini.
Ahmad Norihan berkata, sasaran peningkatan koperasi belia bukan sekadar dari segi bilangan, tetapi, peningkatan itu turut merangkumi aspek kualiti serta tadbir urus yang baik.
“Kita mungkin sasarkan sekitar 400 koperasi belia menjelang 2026, tetapi, yang paling penting ialah, koperasi itu berkualiti melalui proses yang betul serta benar-benar memberi manfaat kepada belia,” katanya.
Menurut beliau, antara faktor kurangnya penyertaan belia dalam koperasi ketika ini adalah disebabkan oleh pendedahan yang terhad, promosi yang tidak menyeluruh serta kekeliruan belia dalam menentukan hala tuju ekonomi dan kerjaya mereka.
Sehubungan itu, beliau berkata, SKM akan mempergiat kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM), Setiausaha Kerajaan Negeri serta agensi dan kementerian berkaitan bagi menarik lebih ramai belia untuk menyertai koperasi.
Mengulas perkembangan keseluruhan sektor koperasi ketika ini pula, Ahmad Norihan berkata, kira-kira 60 hingga 65 peratus koperasi di negara ini masih aktif manakala baki selebihnya dikenal pasti sebagai tidak aktif atau ‘dormant’.
Tambah beliau, setakat 2024, jumlah aset koperasi di Malaysia telah melebihi RM173.4 juta manakala perolehan tahun lepas pula dianggarkan mencecah RM68 juta, sekali gus membuktikan potensi besar koperasi untuk berfungsi sebagai antara ‘enjin’ utama dalam memacu ekonomi negara pada masa depan.-UTUSAN










