MELAKA: Rakyat perlu menjadikan gerakan koperasi sebagai satu cara hidup bagi menambah pendapatan serta menjadi satu alat yang berkesan dalam membasmi kemiskinan tegar di negara ini.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, SKM kini menyasarkan golongan belia, B40, bekas tentera, bekas polis dan wanita yang perlu disantuni bagi mengalakkan mereka menyertai lebih 16,284 koperasi yang berdaftar di seluruh negara.
Katanya, kerajaan kini mahu melihat Gerakan koperasi di seluruh negara menjadi inisiatif untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, gerakan koperasi di seluruh negara telah berjaya memainkan peranannya dan menyumbang secara signifikan sebagai salah satu agen pertumbuhan sosioekonomi yang berpotensi menamatkan kemiskinan tegar.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua golongan masyarakat untuk menghadiri sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 bertemakan ‘Koperasi Pemacu Ekonomi Madani’ yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dari 24 hingga 27 Julai ini.
“Rakyat hanya sekadar memahami perkataan koperasi tetapi tidak tahu apa kelebihan sebenarnya bila menyertai sebagai ahli koperasi dan SKM kini berusaha untuk memberi pendedahan kepada mereka.
“Justeru saya harap sambutan HKN di Melaka nanti seluruh masyarakat berbilang kaum untuk hadir dan memahami apa yang ditawarkan apabila menjadi ahli koperasi yang wujud di negara ini.
“Setakat ini kita ada 7.2 juta ahli dan dijangka gerakan koperasi akan terus tumbuh dan jumlah keahlian pula dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pra-Peluncuran HKN 2025 di Memorial Perisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini semalam.
Majlis tersebut telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Alex Seah Shoo Chin.
Mengulas lanjut Ahmad Norihan berkata, majlis perasmian HKN 2025 akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai ini.
Menurutnya, sebanyak 200 reruai terdiri daripada 300 koperasi, agensi kerajaan dan kementerian akan memeriahkan sambutan tersebut. – UTUSAN










