Konvoi penunggang motosikal halang kenderaan boleh diambil tindakan

Konvoi penunggang motosikal halang kenderaan boleh diambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konvoi penunggang motosikal yang menghalang pergerakan kenderaan lain boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, seksyen berkenaan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak kurang dari setahun atau kedua-duanya.

“Setiap pergerakan berkumpulan atau konvoi perlu memaklumkan kepada pihak JSPT bagi tujuan menyelaras pergerakan kumpulan berkenaan untuk keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Tiada penggunaan pengiring atau marshall dibenarkan untuk pergerakan secara berkonvoi. Penunggang motosikal hendaklah menunggang dengan berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan merujuk kepada Peraturan 5, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas LN.165/59,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas berhubung satu video tular memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang bergerak secara berkumpulan di lebuh raya dengan dikawal oleh beberapa orang penunggang motosikal yang memakai vest keselamatan berwarna kuning.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di Kilometer 285 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke selatan berdekatan Nilai, Negeri Sembilan membabitkan pergerakan dari arah Kuala Lumpur menuju ke arah selatan tanah air.

Mohd. Yusri berkata, secara asasnya, semua pengguna jalan raya hendaklah sentiasa bekerjasama antara satu sama lain apabila berada di dalam pergerakan lalu lintas.

“Semua kenderaan yang dipandu pada kelajuan yang perlahan hendaklah dipandu sebelah kiri jalan dan tidak menghalang kenderaan lain yang dipandu dengan lebih laju.

“JSPT ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya seperti pejalan kaki, penunggang basikal atau pengguna kenderaan bermotor hendaklah sentiasa bekerjasama apabila berada di dalam pergerakan lalu lintas sama ada di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri ataupun jalan bandaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN