1,800 pekerja Jabatan Negara AS bakal diberhentikan

1,800 pekerja Jabatan Negara AS bakal diberhentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bakal melaksanakan pemberhentian kerja secara besar-besaran melibatkan 15 peratus kakitangan domestiknya sebagai langkah penstrukturan semula.

Menurut kenyataan rasmi, tindakan itu sejajar dengan visi Presiden Donald Trump untuk melaksanakan dasar “America First” dalam pentadbiran dan dasar luar AS.

Langkah yang dinamakan sebagai ‘Reduction in Force’ (RIF) itu dijangka melibatkan kira-kira 1,800 pekerja domestik, selain penawaran skim pemberhentian secara sukarela.

Penstrukturan semula itu turut melibatkan penggabungan serta penghapusan ratusan biro di bawah Jabatan Negara, yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam menasihati Presiden serta menerajui hal ehwal dasar luar negara.

Pelaksanaan RIF ini hanya dibuat selepas Mahkamah Agung AS pada minggu ini memihak kepada pentadbiran Trump dengan membatalkan keputusan seorang hakim persekutuan yang sebelum ini menggantung pelan pemberhentian besar-besaran kakitangan kerajaan persekutuan.

“Kami akan memaklumkan kepada individu yang terkesan dalam beberapa hari mendatang. Pertama sekali, kami ingin merakamkan penghargaan atas dedikasi dan khidmat bakti mereka kepada negara,” menurut satu memo yang ditandatangani Timbalan Setiausaha untuk Pengurusan dan Sumber, Michael Rigas.

Perubahan tersebut akan memberi lebih kuasa kepada biro-biro serantau dan mewujudkan rantaian arahan yang lebih ringkas, sekali gus memudahkan urusan pentadbiran dan pelaksanaan arahan daripada White House.

Antara biro yang bakal mengalami perubahan ketara adalah yang berkait dengan isu imigresen dan promosi demokrasi.

Di bawah pentadbiran Trump yang skeptikal terhadap peranan tradisional diplomasi AS, biro seperti Biro of Populasi, Pelarian and Migrasi yang sebelum ini mengurus kemasukan sah imigran ke AS, akan disusun semula untuk memberi tumpuan kepada penghantaran pulang.

Namun begitu, para pegawai enggan mengulas lanjut tentang butiran RIF, dengan alasan ingin memastikan kakitangan yang terlibat dimaklumkan secara terhormat terlebih dahulu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN