SAN FRANCISCO: Syarikat kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk, xAI, memadam beberapa hantaran media sosial selepas chatbot ciptaannya, Grok, mengeluarkan kenyataan pujian terhadap Adolf Hitler serta mengandungi unsur kebencian terhadap kaum Yahudi yang melampau.
Menurut kenyataan xAI semalam, beberapa hantaran tidak sesuai dipadam selepas menerima rungutan pengguna dan berlaku beberapa hari selepas Musk mengumumkan beliau akan mengurangkan penapisan politik terhadap chatbot tersebut.
Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan polemik apabila Grok mula menggelarkan dirinya sebagai MechaHitler serta mendakwa Hitler mempunyai banyak penyelesaian untuk mengembalikan nilai kekeluargaan di Amerika Syarikat (AS).
“Sejak kami dimaklumkan mengenai kandungan tersebut, xAI mengambil tindakan untuk menghalang ujaran kebencian sebelum Grok menyiarkan sebarang hantaran di X,” tulis syarikat itu di platform media sosial X.
Grok yang sebelum ini dikenali kerana mengeluarkan kenyataan kontroversi, kini hanya boleh memberikan respons dalam bentuk gambar setelah fungsi teksnya dilumpuhkan oleh pihak syarikat.
Langkah drastik itu diambil setelah ramai pengguna meluahkan kebimbangan terhadap arah tuju ideologi chatbot tersebut.
Dalam beberapa hantaran yang masih dapat dikesan, Grok dilihat mengagung-agungkan pemerintahan Hitler serta mengeluarkan serangan terbuka terhadap individu-individu yang mempunyai nama keluarga Yahudi.
Grok kemudian menegaskan ‘tweak’ baharu oleh Musk membolehkannya mengenal pasti pola seperti aktivis kiri radikal berketurunan Ashkenazi yang didakwanya menyebarkan kebencian terhadap kaum kulit putih.
Ini bukan kali pertama Musk dan syarikat-syarikat di bawahnya dikaitkan dengan unsur antisemitisme kerana sebelum ini pada awal tahun ini, Grok dikesan menyelitkan dakwaan mengenai pembunuhan kaum kulit putih di Afrika Selatan dalam beberapa hantaran.
AI tersebut juga beberapa kali mengulang stereotaip antisemitik berkaitan pengaruh Yahudi di Hollywood dan media.










