WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat(AS), Donald Trump berpuas hati dengan siasatan insiden cubaan membunuh beliau yang berlaku setahun lalu, ketika Perkhidmatan Rahsia AS mengumumkan tindakan tatatertib terhadap enam anggota agensi itu pada Khamis.
Dalam temu bual eksklusif rancangan My View with Lara Trump di saluran Fox News, yang akan disiarkan Sabtu ini, Trump, 79 tahun, menyatakan pasukan elit keselamatan itu ‘mengalami hari yang teruk’.
“Ada kesilapan yang berlaku dan perkara itu sepatutnya tidak terjadi,” kata Trump dalam temu bual tersebut.
Pemimpin Parti Republikan itu yang tercedera di telinga akibat tembakan semasa menyampaikan ucapan kempen di Butler, Pennsylvania turut menyatakan penyerangnya mempunyai akses ke bangunan utama yang menghadap lokasi perhimpunan.
Dalam insiden tersebut, seorang penonton terbunuh, manakala dua individu lain serta Trump cedera sebelum penembak tepat dari pihak keselamatan menembak mati suspek, Thomas Crooks, berusia 20 tahun.
“Penembak tepat kami berjaya mengenai sasaran dari jarak jauh dengan satu tembakan. Jika itu tidak berlaku, situasinya mungkin menjadi lebih buruk.
“Namanya David, dan dia menjalankan tugas dengan cemerlang,” kata Trump.
Mengulas mengenai siasatan selepas kejadian serta kemungkinan wujudnya ‘komplot yang lebih besar’, Trump memaklumkan beliau berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan.
“Ia satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Saya tak tahu apa yang berlaku. Saya terkena tembakan. Itu jelas. Nasib baik saya sempat berlindung. Orang ramai menjerit, katanya ketika mengimbas kembali detik cemas tersebut.
Perkhidmatan Rahsia dalam kenyataan rasmi menyifatkan serangan pada 13 Julai 2024 itu sebagai tragedi besar dan satu kegagalan operasi yang akan kekal menjadi peringatan terhadap misi tanpa kompromi mereka dalam melindungi pemimpin negara.
Agensi itu memetik kelemahan dalam aspek komunikasi, teknikal dan kesilapan manusia, serta memaklumkan pembaharuan sedang dilaksanakan, termasuk penambahbaikan koordinasi antara agensi penguatkuasaan undang-undang serta penubuhan unit pemantauan udara khas.










