Kisah keluarga Faridah tarik perhatian PM

Kisah keluarga Faridah tarik perhatian PM

ANWAR beramah mesra dengan Mohamad Ali Abdul Malek ketika menziarahi keluarga asnaf itu di Kampung Baru Sirusa, Port Dickson, Negeri Sembilan. - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi keluarga asnaf, Faridah Abbas yang kini berdepan kesempitan hidup selepas suaminya, Mohamad Ali Abdul Malek, terlantar akibat serangan strok sejak tahun lalu.

Dalam lawatan tersebut, Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk segera menyalurkan bantuan yang diperlukan keluarga berkenaan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka terjamin.

“Antara bantuan yang akan disalurkan termasuk penyediaan kiosk perniagaan bagi membolehkan saudari Faridah menjual kuih-muih dan pisang goreng demi menjana pendapatan.

“Kawasan hadapan rumahnya juga akan diratakan bagi memberikan keselesaan kepada keluarga ini,” kongsi Anwar dalam Facebooknya hari ini.

Menurut Anwar, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, meninggalkan kediaman keluarga itu dengan rasa berat hati untuk meneruskan urusan rasmi di Negeri Sembilan.

Namun, beliau tetap menitipkan doa agar segala bentuk bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban ditanggung Faridah dalam menguruskan suami serta anak-anaknya.

“Semoga ihsan dan bantuan ini meringankan penderitaan hidup saudari Faridah.

“Kami berdoa agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan mengangkat ujian yang menimpa keluarga ini, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN