ALOR SETAR: Tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menggambarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seekor monyet serta mengumpamakan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja sebagai kambing dan biri-biri disifatkan penghinaan paling biadab terhadap negara dan kepemimpinan ASEAN.
Pengerusi Persatuan Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, perbuatan itu bukan sahaja keterlaluan dan memalukan, malah boleh mencetuskan ketegangan diplomatik dengan negara jiran.
“Ini bukan sekadar kritikan politik tetapi penghinaan luar biasa terhadap Perdana Menteri yang mempengerusikan ASEAN serta pemimpin Thailand dan Kemboja yang hadir berunding. Ia berbau hasutan dan mencemar maruah negara di mata dunia,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Setar.
Sebanyak 10 laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bersama sebahagian Ketua-Ketua Cabang PKR Kedah yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan paling tegas termasuk di bawah Akta Hasutan terhadap Ahmad Fadhli.
Menurut Zuraidi, apa yang lebih dikesalkan, perbuatan biadab itu dilakukan ketika Perdana Menteri berjaya membawa kejayaan besar setelah rundingan yang dipengerusikannya mencapai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
“Ini kejayaan diplomatik bersejarah yang sepatutnya rakyat Malaysia banggakan. Tetapi ada pula seorang Ahli Parlimen yang bertindak samseng, menghina dan memperlekehkan usaha ini, malu kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Zuraidi berkata, jika kenyataan dan gambar yang dimuat naik itu sampai ke pengetahuan rakyat Thailand dan Kemboja, ia berisiko menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut.
“Sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya menjaga nama baik negara, bukan menjadi batu api. Tindakan ini melampau, tidak beretika dan sama sekali tidak boleh diterima,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar polis segera bertindak terhadap Ketua Penerangan Pas itu, malah menyarankan supaya beliau dilucutkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen jika terbukti bersalah.
“Kami juga merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melihat serius isu ini kerana ia membabitkan maruah Malaysia sebagai pengerusi ASEAN. Jangan biarkan individu seperti ini mencemar nama baik negara di persada dunia.
“Ini bukan soal politik sempit. Ini soal maruah negara, kami mahu tindakan paling tegas diambil agar menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang sanggup menghina pemimpin negara dan memperlekehkan hubungan diplomatik,” katanya.
Ketua Cabang PKR Padang Terap, Mohd. Tahar Hussin pula berkata, isu itu tidak seharusnya hanya diselesaikan dengan permohonan maaf oleh Ahmad Fadhli kerana perkara itu terlalu serius melibatkan imej Malaysia.
“Belum ada lagi seorang Perdana Menteri yang boleh buat langkah sejauh ini, sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia meraikan kejayaan yang dilakukan oleh beliau, bukannya mengaibkan negara dengan komen seperti Ahli Parlimen Pasir Mas,” ujarnya. – UTUSAN










