Sikap Bersatu punca Pas putuskan kerjasama

Sikap Bersatu punca Pas putuskan kerjasama

bersatu
 AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Antara sebab Pas memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah kerana sikap parti dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menentang kemasukan parti-parti lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Bersatu mengambil sikap menentang kemasukan parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra ke dalam PN, walaupun kertas cadangan sudah disiapkan.

Katanya, ia merupakan perkara paling utama bagi perjuangan Pas iaitu penyatuan ummah.

“Tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keputusan Pas memutuskan kerjasama dengan Bersatu tidak dibuat berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek.

Katanya, ia berdasarkan penilaian terhadap kemampuan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat lebih besar iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.

“Ia bukan menggembirakan tetapi ia ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu turut diambil susulan rentetan sikap Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan yang menjejaskan moral jentera Pas untuk terus bekerjasama pada pilihan raya akan datang.

“Kedudukan Pas dan Bersatu dalam PN akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan dan saluran yang sewajarnya. Sudah tentu Pas dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat, semalam,” katanya.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diputuskan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN