PETALING JAYA: Pas mungkin tidak akan berkempen bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) ekoran hubungan yang semakin tegang antara kedua-dua parti itu.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai masa depan kerjasama kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) itu.
Ia sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan perubahan besar landskap politik pembangkang menjelang pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendekatan terbaik ketika ini ialah kedua-dua parti kekal sebagai rakan politik, namun tidak lagi berkongsi pentas pilihan raya yang sama.
Menurut beliau, hubungan antara Pas dan Bersatu semakin sukar dipertahankan apabila beberapa isu yang dibangkitkan tidak dapat diterima secara terbuka oleh pihak tertentu.
“Secara peribadi saya melihat jalan terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap ucapan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Rapat Rakyat dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Melaka di Klebang, Sabtu lalu.
Dalam ucapannya, Azmin membidas dakwaan bahawa Bersatu tidak mempunyai jentera pilihan raya yang kukuh, malah menggunakan istilah ‘pekak’ terhadap pihak yang didakwa gagal melihat kehadiran penyokong dan jentera parti itu.
Kenyataan tersebut dilihat menambah ketegangan dalam hubungan Pas dan Bersatu yang sebelum ini sudah menjadi perhatian susulan beberapa perbezaan pendirian melibatkan kedua-dua parti komponen PN itu.
Pada 22 Mei lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan yang didakwa tidak selari dengan semangat setia kawan dalam gabungan berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, ketiadaan jentera yang mantap bukan satu kesalahan bagi mana-mana parti, terutama parti yang masih membina kekuatan di peringkat akar umbi.
Namun katanya, masalah timbul apabila kelemahan tersebut tidak mahu diakui dan sebaliknya cuba diselindungkan dengan keyakinan yang tidak berpijak pada realiti semasa.
Beliau turut mendakwa terdapat pihak yang lebih menumpukan usaha membina kelompok penyokong peribadi berbanding memperkukuhkan organisasi parti secara menyeluruh.
Menurutnya, beberapa perkembangan melibatkan Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan, turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju parti itu selepas PRU16, termasuk kemungkinan membuat keputusan sendiri dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.
Kenyataan terbuka pemimpin kedua-dua parti itu menjadi petunjuk hubungan Pas dan Bersatu semakin tegang, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada kerjasama dalam PN mampu dipertahankan sehingga menghadapi PRU16. – UTUSAN










