SEPANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah apabila dilanggar lari sebuah motosikal selepas melintas jalan di Hadapan Uptown Puchong Night Bazar, malam Khamis lalu.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa sebelum itu dipimpin oleh ibunya melintas jalan sebelum dirempuh motosikal jenis Yamaha Y15.
Bagaimanapun, penunggang motosikal terbabit bertindak melarikan diri sejurus kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya kini giat mengesan pemilik motosikal berkenaan.
“Mangsa kini masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Kami dimaklumkan, mangsa baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada malam kejadian,” katanya.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, mangsa bersama ahli keluarganya dilihat berjalan menuju ke tempat letak kereta sebelum insiden itu berlaku.
Justeru, saksi awam diminta tampil membantu siasatan termasuk yang menyaksikan atau merakamkan kejadian kemalangan itu atau yang mempunyai rakaman kameran papan pemuka (dashcam).
“Sila hubungi Sarjan Ungku Fairuz, Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang di talian 011-21004106 jika mempunyai sebarang maklumat,” katanya. – UTUSAN











