PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) memberi kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kewujudan sel pengganas berkaitan militan Islamic State (IS) membabitkan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) di negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius perkara itu susulan pembongkaran pihak polis berhubung gerakan GMRB dalam kalangan pekerja buruh warga Bangladesh.
“Sebenarnya, perkara ini masih dalam tindakan pihak polis, jadi saya tidak mahu komen lebih lanjut buat masa ini.
“Namun begitu, kita memandang serius perkara ini dan kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Menembak Ketua Pengarah Imigresen Bersama Rakan Media 2025 di Lapang Sasar Kelab Menembak Shapadu, di sini, hari ini.
Diminta mengulas berhubung kenyataan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung pegawai JIM didakwa tidak mematuhi prosedur kemasukan warga asing Afrika, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan.
“KiAMI akan siasat lanjut perkara ini, sekiranya didapati ada pegawai kita yang melakukan salah laku atau terlibat dalam sindiket seperti ini, kita tidak akan berkompromi. Kami akan ambil tindakan tegas dan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










