PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan penahanan tiga warga Indonesia di Setapak dan Ampang, Khamis lalu.
Serbuan pukul 12.15 tengah hari itu dilakukan di dua premis terbabit oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan melibatkan tiga warga Indonesia termasuk seorang lelaki yang semuanya berusia 25 hingga 50 tahun.
Menurut beliau, wanita berusia 50 tahun berperanan sebagai dalang manakala dua lagi sebagai promoter dalam talian produk kosmetik dan kecantikan.
“Modus operandi sindiket dengan membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan secara dalam talian melalui ejen dengan harga RM159 setiap satu.
“Sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai telah beroperasi enam bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, hasil semakan mendapati, seorang wanita yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sah manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas manakala tahanan lelaki didapati telah tinggal melebihi masa.
Jelas beliau, pihaknya turut merampas produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama,dua pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM3,263 dan Indonesia Rupiah 3.27 juta (RM962.53).
“Ketiga-tiga individu itu ditahan di Depot Imigresen Semenyih kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Tangkapan juga akan disiasat oleh pihak KKM kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” ujarnya.
Ruslin berkata, seorang lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.
Kata beliau, pihak Imigresen akan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan. – UTUSAN










