PETALING JAYA: Seramai 13 warga asing termasuk seorang berperanan sebagai ‘penjaga’ ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dipercayai terbabit sindiket penyeludupan migran dikenali ‘Iqbal’ yang menjadikan sebuah premis terpencil sehingga mampu meraih keuntungan keseluruhan RM1.5 juta di Kelantan, semalam.
Serbuan dijalankan pegawai Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kelantan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tertumpu di sebuah premis yang dijadikan rumah penampungan bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa masuk ke dalam negara melalui laluan tidak sah.
Katanya, premis berkenaan terletak di lokasi terpencil di kawasan kampung yang sukar dikesan bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain dijadikan markas transit bagi menempatkan PATI yang baru menyeludup masuk.
“Hasil serbuan membawa kepada penahanan seramai 12 warga Bangladesh yang terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun.
“Turut ditahan, seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya berusia 27 tahun yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua migran memasuki negara ini sejak tiga hari lalu melalui laluan darat yang tidak diwartakan (jalan tikus) di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.
Jelasnya, mereka ditempatkan di premis terbabit sementara menunggu baki bayaran kemasukan dilunaskan sebelum dihantar ke destinasi seterusnya.
“Risikan lanjut mendapati sindiket ‘Iqbal’ aktif beroperasi sejak awal tahun 2024 dan mempunyai rangkaian ejen pengatur di negara asal dengan dalang utama warga Bangladesh yang dikenali sebagai ‘Iqbal’, dan dipercayai beroperasi dari Thailand.
“Sindiket mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu. Keuntungan keseluruhan yang diraih oleh sindiket ini dianggarkan mencecah RM1.5 juta hasil daripada aktiviti haram itu,” katanya.
Zakaria berkata, pihaknya sedang giat mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan pihak sindiket dengan menyewakan serta membenarkan premisnya dijadikan pusat transit aktiviti penyeludupan migran.
“Individu berkenaan akan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670],” katanya.
“JIM menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.
“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan, atau pemilik premis yang menggaji, melindungi, atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.– UTUSAN










