Guna alat timbang tamat tempoh, peniaga durian dikompaun

Guna alat timbang tamat tempoh, peniaga durian dikompaun

PEGAWAI dan anggota penguat kuasa KPDN mengeluarkan kompaun ke atas peniaga durian yang didapati masih menggunakan alat penimbang tamat tempoh dikompaun ketika pemeriksaan di sebuah gerai menjual buah-buahan di Sendayan-Gadung, Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Segelintir peniaga durian di negeri ini dikesan gagal mempamerkan tanda harga dengan jelas serta menggunakan alat timbang luput tempoh sah laku sepanjang musim raja buah itu ketika ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Faizah Othman berkata, dua kesalahan itu dikesan sepanjang aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihaknya hari ini.

Operasi penguatkuasaan melibatkan kekuatan 30 anggota itu bermula pukul 11.30 pagi tadi di seluruh negeri termasuk kawasan Ampangan, Jalan Jelebu, Sendayan, Paroi, Mantin dan Mambau.

Dalam penguatkuasaan itu, antara alasan yang sering digunakan peniaga durian adalah terlepas pandang atau tidak tahu bahawa alat timbang digunakan perlu ditentusahkan selain mempunyai tempoh sah laku.

Menurut Faizah, sebanyak 41 premis peniaga durian telah diperiksa dan daripada jumlah itu 12 premis telah dikenakan tindakan kompaun.

“Sehubungan itu, peniaga durian ini telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan satu kes manakala Akta Timbang dan Sukat 1972 melibatkan 11 kes.

“Kompaun masing-masing sebanyak RM200 dan RM300 dikenakan kepada peniaga serta-merta bagi dua kesalahan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas pemeriksaan di sini hari ini.

Jelas Faizah, tanda harga perlu dipamerkan dengan jelas dan terperinci mengikut jenis durian supaya pembeli tidak terkeliru.

“Pemantauan hari ini juga mendapati, kebanyakan kesalahan peniaga durian lebih kepada penggunaan alat timbang yang telah tamat tempoh dan tidak diverifikasi.

“Tempoh sah laku alat timbang biasanya setahun dan sekiranya peniaga didapati menggunakannya, boleh dikenakan kompaun dan tiada alasan mereka tidak tahu memandangkan akta ini telah digunakan sejak tahun 1972,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN