Fitnah guna bomoh, Rosmah dapat ganti rugi RM100,000

Fitnah guna bomoh, Rosmah dapat ganti rugi RM100,000

rosmah
Rosmah Mansor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pemilik akaun TikTok membayar ganti rugi am dan teruk berjumlah RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor kerana memfitnahnya terlibat dengan upacara bertentangan dengan agama, dua tahun lalu.

Ganti rugi itu berkait dengan saman yang difailkan Rosmah pada 19 September 2023 yang mendakwa pemilik akaun media sosial itu, Ku Muhammad Hilmie Ku Din telah menerbitkan kenyataan mengaitkan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan aktiviti melibatkan bomoh dan perbuatan syirik.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan, walaupun Rosmah telah disabitkan dengan kesalahan rasuah, namun itu tidak boleh dijadikan ‘modal’ untuk memfitnah beliau.

“Walaupun telah disabitkan dengan kesalahan, seseorang individu masih boleh memfailkan saman fitnah seandainya kenyataan yang dibuat terhadap mereka melebihi jenayah yang dilakukan sebelum ini. Disabitkan dengan kesalahan tidak menghapuskan hak seseorang untuk mempertahankan reputasinya dalam semua aspek kehidupan.

“Mahkamah Rayuan dalam penghakiman sebelum ini turut menyatakan bahawa sabitan jenayah tidak boleh diterima sebagai bukti menunjukkan sifat buruk seseorang,” kata Hakim Ahmad Shahrir.

Hakim itu berkata demikian pada prosiding taksiran ganti rugi yang layak diterima Rosmah selepas membenarkan penghakiman ingkar yang dimohon beliau pada 28 Mei 2024 ekoran kegagalan defendan, Ku Muhammad Hilmie memasukkan kehadiran.

Mahkamah turut mendapati bahawa sabitan salah itu juga tidak menafikan hak Rosmah untuk mendapat ganti rugi.

“Selaras dengan prinsip-prinsip tersebut, sabitan jenayah plaintif tidak boleh dijadikan asas untuk menunjukkan sifat buruk bagi tujuan mengurangkan jumlah ganti rugi.

“Mahkamah ini mendapati dakwaan fitnah yang dilemparkan terhadap plaintif menggambarkan penglibatan beliau dalam amalan ghaib dan mengaitkannya dengan entiti spiritual. Tuduhan-tuduhan ini merupakan serangan terhadap keperibadian plaintif khususnya dari segi integriti agama dan kedudukan moral.

“Dalam konteks masyarakat di mana nilai agama dan kesusilaan moral sangat dihargai, dakwaan sedemikian adalah serius dan berpotensi untuk merosakkan reputasi plaintif secara nyata,” kata Hakim Ahmad Shahrir.

Selain ganti rugi itu, Mahkamah turut memerintahkan Ku Muhammad Hilmie membayar ganti kos sebanyak RM20,000.

Menurut saman yang difailkan Rosmah pada 19 September 2023, plaintif mendakwa Ku Muhammad Hilmie telah memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok milik defendan yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadapnya pada 22 Mac 2023.

Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti melibatkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu memprejudiskan reputasinya selaku isteri Perdana Menteri Malaysia keenam dan penaung badan-badan amal di negara ini yang dikenali umum.

Rosmah mendakwa, akibat kenyataan fitnah itu, beliau dipandang serong oleh orang awam, dicemuh dan dihina sekali us mencemarkan reputasinya selaku figura yang dikenali oleh masyarakat umum.

Sehubungan itu, beliau menuntut antara lain ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×