SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) meluluskan permohonan 400 keping tanah bagi membina rumah ibadah bukan Islam sejak tahun 2008.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, bagaimanapun tanah-tanah yang diberikan itu boleh diambil kembali sekiranya pihak pemaju tidak membina rumah ibadah seperti dalam permohonannya.
“Kerajaan negeri adil kepada semua agama untuk mengamalkan ajaran mereka dengan aman. Selepas diberikan tanah kepada pihak berenaan, mereka perlu membina rumah ibadah tersebut dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Sementara itu, ADUN Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh meminta penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung syarat kapasiti penduduk oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada pemaju bagi permohonan pembinaan masjid atau surau.
Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan menjelaskan setiap permohonan Kebenaran Merancang (KM) bagi kawasan penempatan baharu perlu mematuhi ketetapan yang digariskan dalam dua dokumen rujukan utama, iaitu Rancangan Pemajuan dan Manual Garis Panduan Dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor (MGPPPNS).
“Selain itu, pemaju juga perku mendapatkan ulasan dan mematuhi syarat teknikal daripada Agensi Teknikal Luaran (ATL) seperti Pengurusan Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta agensi lain yang berkaitan.
“Pematuhan piawaian itu adalah mandatori dan menjadi sebahagian daripada pertimbangan utama kelulusan perancangan,” ujarnya. – UTUSAN