Dharma Harun Al-Rashid hidap paru-paru bengkak, tiroid, asma

Dharma Harun Al-Rashid hidap paru-paru bengkak, tiroid, asma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon popular era 80-an, Dharma Harun disahkan mengidap tiroid, asma dan gastrik setelah melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta, semalam.

Ujar Dharma, 68, sama seperti sakit bengkak hati dan jantung yang dihidapinya sebelum ini, ia masih dalam kategori tidak serius kerana pelakon itu masih boleh memandu dan bertutur dengan lancar. 

“Semalam saya pergi buat pemeriksaan kesihatan, macam biasa jantung, paru-paru ada sikit (sakit). Selain itu dan tiroid, asma dan gastrik. Itu semua dalam keadaan biasa. 

“Kemudian doktor bagi ubat, lepas makan ubat memang terus tertidur. Itulah apa yang saya boleh beritahu, saya pun tidak boleh bercakap banyak,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Difahamkan, Dharma terus melakukan pemeriksaan kesihatan atas saranan dan sumbangan RM1,000 oleh sahabat terdekatnya, Datuk DJ Dave yang turut melawatnya di kediamannya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, doktor turut menasihati pelakon Adik Manja itu untuk selalu mengawal emosi selain perlu memberi perhatian kepada kesihatan kerana sudah berusia.

Terdahulu, media melaporkan berat Dharma menyusut sehingga 40 kilogram menjadikan berat badannya hari ini sebanyak 45 kilogram. 

Dharma kini tinggal bersama anaknya Syafiq, 36, dan anak perempuannya, Siti Qurratu Aini, 37, yang kedua-duanya masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN