SEPANG: Laungan “Free Palestine” dan “Bangkit Gaza” bergema di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) petang ini sebaik sembilan delegasi Malaysia yang menyertai Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Miles to Gaza (TMTG) selamat tiba di tanah air.
Rombongan itu menaiki pesawat Turkish Airlines dari Istanbul dan mendarat sekitar pukul 4 petang. Ketibaan mereka disambut penuh emosi oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, selain ahli keluarga dan rakan seperjuangan.
Misi tersebut diketuai Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali bersama lapan lagi aktivis kemanusiaan iaitu Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi, Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada 150 aktivis antarabangsa yang ditahan tentera Israel pada Rabu lalu selepas kapal konvoi kemanusiaan mereka ditunda ke Pelabuhan Ashdod ketika dalam perjalanan membawa bekalan bantuan ke Gaza.
Selepas beberapa hari ditahan, kesemua aktivis Malaysia dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Istanbul Jumaat lalu.
Kementerian Luar mengesahkan sembilan rakyat Malaysia itu telah dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul pada pukul 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia) sebelum meneruskan penerbangan pulang ke tanah air.










