Cuba nafi terlibat dalam perang di Ukraine

Cuba nafi terlibat dalam perang di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAVANA: Kerajaan Cuba menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) negara itu terlibat dalam konflik ketenteraan di Ukraine atau menghantar askar untuk berperang di sana.

“Cuba menolak tuduhan palsu yang disebarkan oleh kerajaan AS mengenai penglibatan negara ini dalam konflik ketenteraan di Ukraine,” menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar Cuba pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, 26 rakyat Cuba dijatuhi hukuman penjara antara lima hingga 14 tahun atas kesalahan aktiviti upahan sejak September 2023, selepas laporan tersebar mendakwa warga Cuba dihantar ke barisan hadapan di Ukraine.

“Kami sedar terdapat laporan warganegara Cuba berperang bersama tentera Russia dalam perang Russia-Ukraine.

“Rejim Cuba telah gagal melindungi rakyatnya daripada dijadikan alat dalam perang Russia-Ukraine,” kata jurucakap Jabatan Negara AS kepada AFP awal minggu ini.

Pada Mei lalu, satu inisiatif kerajaan Ukraine yang menggalakkan tentera musuh menyerah diri mendakwa mempunyai data lebih 1,000 rakyat Cuba yang direkrut oleh Russia sejak awal 2023.

“Kami mempunyai maklumat yang sahih mengenai nama dan butiran peribadi 1,028 warga Cuba yang menandatangani kontrak dengan Angkatan Tentera Russia pada 2023–2024,” menurut projek dikenali sebagai ‘I Want to Live’ itu.

Namun, kerajaan Cuba menegaskan tidak mempunyai maklumat tepat tentang rakyatnya yang mungkin terlibat secara individu atau menyertai mana-mana pihak dalam peperangan tersebut.

“Tidak dapat disangkal tiada seorang pun daripada mereka bertindak dengan galakan, komitmen, atau kebenaran daripada kerajaan Cuba,” tegas kementerian itu.

Keluarga beberapa rakyat Cuba yang berlepas ke Russia pada 2023 memberitahu mereka telah direkrut secara penipuan melalui iklan pekerjaan di media sosial. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×